Tukar Bahasa: English

Marudi, 26 Oktober – Mahkamah Majistret Marudi menjatuhkan hukuman denda terhadap dua buah syarikat di sini yang didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana tidak membayar gaji pokok RM920.00 kepada pekerjanya sepertimana Perintah Gaji Minimum 2016 yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2016. 

Majistret Zuraini Ali Musa memerintahkan hukuman denda RM1,500.00 bagi setiap kesalahan atas tiga pertuduhan atau tiga bulan penjara terhadap pemilik syarikat penyediaan makanan di sekolah. 

Manakala Majistret yang sama turut memerintahkan hukuman denda RM2,000.00 bagi setiap kesalahan atas dua pertuduhan atau tiga bulan penjara terhadap pemilik kedai perabot Marudi semalam. 

Sementara dalam prosiding yang sama sebuah syarikat kawalan keselamatan dijatuhkan hukuman denda RM6,800.00 atau tiga bulan penjara kerana ingkar perintah Pengarah Tenaga Kerja Sarawak di bawah seksyen 130C (a), iaitu gagal mematuhi perintah (Borang C) Mahkamah Buruh untuk membayar baki gaji notis, faedah penamatan kerja, baki kerja lebih masa dan tuntutan lain kepada pekerjanya. 

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Anthony Lawai Lutang menegaskan pendakwaan ini dijalankan sebagai peringatan kepada majikan lain yang masih ingkar Perintah Gaji Minimum dan undang-undang buruh yang lain. Kes tersebut telah dibuka dan disiasat oleh Pejabat Tenaga Kerja Marudi. 

 

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Manusia
26 Oktober 2017
 

PrintEmail

Putrajaya, 12 Oktober – Seramai 25 anggota Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah dilantik bagi tempoh 2017 hingga 2020. Pelantikan yang telah disempurnakan YB Dato' Sri (Dr) Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia, terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, 5 orang anggota mewakili Kerajaan, 6 orang anggota mewakili Pekerja, 6 orang anggota mewakili Majikan dan 5 orang anggota mewakili Anggota Lain.

Pelantikan anggota baharu MPGN ini adalah berkuat kuasa bagi tempoh 3 tahun iaitu mulai 1 Oktober 2017 hingga 30 September 2020 selaras dengan sub seksyen 5(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia melantik anggota MPGN. Anggota-anggota MPGN yang dilantik ini diharap dapat memainkan peranan berkesan dalam menasihati Kerajaan dalam hal berkaitan gaji dan gaji minimum, selain berperanan mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan membuat syor kepada Kerajaan berhubung gaji minimum baharu. 

Dalam melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2016, Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan satu platform konsultasi dengan orang awam secara atas talian iaitu MyMPGN idea yang boleh diakses melalui portal Gaji Minimum di alamat http://minimumwages.mohr.gov.my. Kementerian berharap orang awam dapat memberikan pandangan dan maklum balas yang boleh digunakan sebagai input dalam proses kajian semula ini sebelum 31 Disember 2017.

Sesi perbincangan dan konsultansi dengan pemegang taruh (stakeholders) akan turut dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada proses Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016. Penglibatan majikan, pekerja, kesatuan sekerja, persatuan dan organisasi amatlah diharapkan supaya kajian semula ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan mengambilkira maklumat dan pandangan serta maklumat daripada semua pihak terlibat.

Dalam perkembangan lain, setakat Jun 2017, data penguatkuasaan gaji minimum berdasarkan pemeriksaan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dimana daripada 142,151 pemeriksaan berkanun yang telah dibuat, sebanyak 98% majikan didapati telah mematuhi Perintah Gaji Minimum. Selain itu, bilangan aduan dan tuntutan kes buruh di Jabatan Tenaga Kerja juga telah berkurangan pada tahun 2017 berbanding pada mula kita melaksanakan dasar ini pada tahun 2013. Ini adalah suatu petanda yang baik.

Dasar gaji minimum adalah satu dasar yang penting dalam membantu negara mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Selain itu, dasar ini juga menjadi dasar intervensi yang amat penting bagi meningkatkan pendapatan untuk golongan pekerja terutamanya golongan B40.

YB Menteri Sumber Manusia turut merakamkan penghargaan kepada anggota-anggota MPGN sebelum ini telah memberi sumbangan dalam memastikan kejayaan MPGN melaksanakan fungsi-fungsinya termasuk membuat kajian dan syor kepada Kerajaan sebelum pewartaan Perintah Gaji Minimum 2016. Sehubungan dengan itu, pelantikan anggota MPGN yang baharu ini adalah sangat penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar gaji minimum ini.

###

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Manusia
12 Oktober 2017
 

PrintEmail

29 April 2016 –  Perintah Gaji Minimum 2016
       
Kajian terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2012 telah diselesaikan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober 2015 telah mengumumkan penetapan kadar gaji minimum baharu yang sekarang ini diwartakan melalui PGM 2016 ini. Dalam menetapkan kadar gaji minimum baharu ini, Kerajaan telah meneliti semua syor yang dikemukakan oleh MPGN dan telah mengambil pendekatan ‘balanced approach’ serta telah mempertimbangkan kepentingan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja. Pewartaan PGM 2016 ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam melindungi kepentingan warga pekerja di samping tidak mengabaikan kepentingan majikan. 
       
2. Perkara-perkara utama yang terkandung dalam Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 adalah seperti berikut:
       
  2.1 Tarikh kuat kuasa
    Tarikh kuat kuasa PGM 2016 adalah mulai 1 Julai 2016 ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.
       
  2.2 Liputan Gaji Minimum
    PGM 2016 mengekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik.
       
  2.3  Kadar Gaji Minimum Bulanan/Jam 
    Kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan/ RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan/ RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
       
  2.4 Kadar Gaji Minimum Harian
    Kadar gaji minimum harian dimasukkan dalam PGM 2016 tertakluk kepada jumlah jam bekerja maksimum seminggu iaitu 48 jam seperti berikut:
       
   

Kawasan Wilayah

Bil. Hari Bekerja Dalam Seminggu

Kadar Gaji Minimum Harian

Semenanjung Malaysia

6

RM38.46

5

RM46.15

4

RM57.69

Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan

6

RM35.38

5

RM42.46

4

RM53.08

       
  2.5 Gaji Minimum Bagi Pekerja-Pekerja Yang Dibayar Secara Piece-RateTanTask, Trip  atau Komisen
    Bagi pekerja-pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen (commission), kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada RM1,000 di Semenanjung Malaysia atau RM920 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
  2.6

 

Pemansuhan Klausa Permohonan Penundaan, Rundingan bagi Penstrukturan Semula Gaji dan Kadar Gaji Minimum bagi Pekerja dalam Tempoh Percubaan     

    Klausa berhubung Permohonan Penundaan, Rundingan bagi Penstrukturan Semula Gaji dan Pengurangan Kadar Gaji Minimum bagi Pekerja dalam tempoh percubaan yang ada dalam PGM 2012 tidak ditetapkan dalam PGM 2016. Bagi pekerja-pekerja yang masih menjalani tempoh percubaan melangkaui tarikh 1 Julai 2016, tiada pengurangan kadar gaji minimum dibenarkan bagi pekerja-pekerja yang masih dalam tempoh percubaan tersebut mulai 1 Julai 2016.
       
3. Pemansuhan Garis Panduan Majlis Perundingan Gaji Negara Mengenai Kaedah Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012
  Garis Panduan di atas yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara pada 6 September 2012 selaras dengan penguatkuasaan PGM 2012 adalah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya PGM 2016 mulai 1 Julai 2016. 
       
4. Penutup
  Penguatkuasaan akan terus giat dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan majikan mematuhi pembayaran gaji minimum ini. Kerajaan berharap kadar gaji minimum baharu ini akan mampu melonjakkan pendapatan pekerja Malaysia sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai matlamat Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang tahun 2020. Sesalinan Perintah tersebut boleh diperolehi dalam laman sesawang Kementerian Sumber Manusia iaitu di www.mohr.gov.my.
   
Menteri Sumber Manusia
29 April 2016
       
Muat Turun Artikel Asal
 

PrintEmail

   
Mengapakah gaji minimum dilaksanakan?
Bolehkah syarikat saya memperoleh pengecualian pelaksanaan gaji minimum?
Bilakah tarikh kuat kuasa
Perintah Gaji Minimum?
   
 
 
Mengapakah gaji minimum dilaksanakan?
Apakah bayaran yang boleh
diambil kira dalam perkiraan
gaji minimum?
Siapakah yang tertakluk di
bawah gaji minimum?
   
 
Kenyataan akhbar
Undang-undang berkaitan
Soalan Lazim
   
   
   
   

BERITA TERKINI