Kenyataan Akhbar

29 April 2016     -     Perintah Gaji Minimum 2016 

Kajian terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2012 telah diselesaikan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober 2015 telah mengumumkan penetapan kadar gaji minimum baharu yang sekarang ini diwartakan melalui PGM 2016 ini. Dalam menetapkan kadar gaji minimum baharu ini, Kerajaan telah meneliti semua syor yang dikemukakan oleh MPGN dan telah mengambil pendekatan ‘balanced approach’ serta telah mempertimbangkan kepentingan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja. Pewartaan PGM 2016 ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam melindungi kepentingan warga pekerja di samping tidak mengabaikan kepentingan majikan.
 
2.    Perkara-perkara utama yang terkandung dalam Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 adalah seperti berikut:
 
  2.1   Tarikh kuat kuasa
Tarikh kuat kuasa PGM 2016 adalah mulai 1 Julai 2016 ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja. 
 
  2.2   Liputan Gaji Minimum
PGM 2016 mengekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik sebagaimana yang terkandung dalam PGM 2012.
 
  2.3   Kadar Gaji Minimum Bulanan/Jam 
Kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan/ RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan/ RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
  2.4   Kadar Gaji Minimum Harian
Kadar gaji minimum harian dimasukkan dalam PGM 2016 tertakluk kepada jumlah jam bekerja maksimum seminggu iaitu 48 jam seperti berikut:
 

Kawasan Wilayah

Bil. Hari Bekerja Dalam Seminggu

Kadar Gaji Minimum Harian

Semenanjung Malaysia

6

RM38.46

5

RM46.15

4

RM57.69

Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan

6

RM35.38

5

RM42.46

4

RM53.08

 
   2.5   Gaji Minimum Bagi Pekerja-Pekerja Yang Dibayar Secara Piece-Rate, Tan, Task, Trip atau Komisen
Bagi pekerja-pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen (commission), kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada RM1,000 di Semenanjung Malaysia atau RM920 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
  2.6   Pemansuhan Klausa Permohonan Penundaan, Rundingan bagi Penstrukturan Semula Gaji dan Kadar Gaji Minimum bagi Pekerja dalam Tempoh Percubaan 
Klausa berhubung Permohonan Penundaan, Rundingan bagi Penstrukturan Semula Gaji dan Pengurangan Kadar Gaji Minimum bagi Pekerja dalam tempoh percubaan yang ada dalam PGM 2012 tidak ditetapkan dalam PGM 2016. Bagi pekerja-pekerja yang masih menjalani tempoh percubaan melangkaui tarikh 1 Julai 2016, tiada pengurangan kadar gaji minimum dibenarkan bagi pekerja-pekerja yang masih dalam tempoh percubaan tersebut mulai 1 Julai 2016.
 
3. Pemansuhan Garis Panduan Majlis Perundingan Gaji Negara Mengenai Kaedah Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012
Garis Panduan di atas yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara pada 6 September 2012 selaras dengan penguatkuasaan PGM 2012 adalah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya PGM 2016 mulai 1 Julai 2016. 
 
4. Penutup
Penguatkuasaan akan terus giat dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan majikan mematuhi pembayaran gaji minimum ini. Kerajaan berharap kadar gaji minimum baharu ini akan mampu melonjakkan pendapatan pekerja Malaysia sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai matlamat Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang tahun 2020. Sesalinan Perintah tersebut boleh diperolehi dalam laman sesawang Kementerian Sumber Manusia iaitu di www.mohr.gov.my.
 
Menteri Sumber Manusia
29 April 2016
 

PrintEmail