Dua Syarikat Didenda Gagal Bayar Gaji Minimum

Marudi, 26 Oktober – Mahkamah Majistret Marudi menjatuhkan hukuman denda terhadap dua buah syarikat di sini yang didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana tidak membayar gaji pokok RM920.00 kepada pekerjanya sepertimana Perintah Gaji Minimum 2016 yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2016. 

Majistret Zuraini Ali Musa memerintahkan hukuman denda RM1,500.00 bagi setiap kesalahan atas tiga pertuduhan atau tiga bulan penjara terhadap pemilik syarikat penyediaan makanan di sekolah. 

Manakala Majistret yang sama turut memerintahkan hukuman denda RM2,000.00 bagi setiap kesalahan atas dua pertuduhan atau tiga bulan penjara terhadap pemilik kedai perabot Marudi semalam. 

Sementara dalam prosiding yang sama sebuah syarikat kawalan keselamatan dijatuhkan hukuman denda RM6,800.00 atau tiga bulan penjara kerana ingkar perintah Pengarah Tenaga Kerja Sarawak di bawah seksyen 130C (a), iaitu gagal mematuhi perintah (Borang C) Mahkamah Buruh untuk membayar baki gaji notis, faedah penamatan kerja, baki kerja lebih masa dan tuntutan lain kepada pekerjanya. 

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Anthony Lawai Lutang menegaskan pendakwaan ini dijalankan sebagai peringatan kepada majikan lain yang masih ingkar Perintah Gaji Minimum dan undang-undang buruh yang lain. Kes tersebut telah dibuka dan disiasat oleh Pejabat Tenaga Kerja Marudi. 

 

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Manusia
26 Oktober 2017
 

PrintEmail