Pelantikan Anggota Majlis Perundingan Gaji Negara Bagi Tempoh 2017-2020

Putrajaya, 12 Oktober – Seramai 25 anggota Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah dilantik bagi tempoh 2017 hingga 2020. Pelantikan yang telah disempurnakan YB Dato' Sri (Dr) Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia, terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, 5 orang anggota mewakili Kerajaan, 6 orang anggota mewakili Pekerja, 6 orang anggota mewakili Majikan dan 5 orang anggota mewakili Anggota Lain.

Pelantikan anggota baharu MPGN ini adalah berkuat kuasa bagi tempoh 3 tahun iaitu mulai 1 Oktober 2017 hingga 30 September 2020 selaras dengan sub seksyen 5(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia melantik anggota MPGN. Anggota-anggota MPGN yang dilantik ini diharap dapat memainkan peranan berkesan dalam menasihati Kerajaan dalam hal berkaitan gaji dan gaji minimum, selain berperanan mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan membuat syor kepada Kerajaan berhubung gaji minimum baharu. 

Dalam melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2016, Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan satu platform konsultasi dengan orang awam secara atas talian iaitu MyMPGN idea yang boleh diakses melalui portal Gaji Minimum di alamat http://minimumwages.mohr.gov.my. Kementerian berharap orang awam dapat memberikan pandangan dan maklum balas yang boleh digunakan sebagai input dalam proses kajian semula ini sebelum 31 Disember 2017.

Sesi perbincangan dan konsultansi dengan pemegang taruh (stakeholders) akan turut dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada proses Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016. Penglibatan majikan, pekerja, kesatuan sekerja, persatuan dan organisasi amatlah diharapkan supaya kajian semula ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan mengambilkira maklumat dan pandangan serta maklumat daripada semua pihak terlibat.

Dalam perkembangan lain, setakat Jun 2017, data penguatkuasaan gaji minimum berdasarkan pemeriksaan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dimana daripada 142,151 pemeriksaan berkanun yang telah dibuat, sebanyak 98% majikan didapati telah mematuhi Perintah Gaji Minimum. Selain itu, bilangan aduan dan tuntutan kes buruh di Jabatan Tenaga Kerja juga telah berkurangan pada tahun 2017 berbanding pada mula kita melaksanakan dasar ini pada tahun 2013. Ini adalah suatu petanda yang baik.

Dasar gaji minimum adalah satu dasar yang penting dalam membantu negara mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Selain itu, dasar ini juga menjadi dasar intervensi yang amat penting bagi meningkatkan pendapatan untuk golongan pekerja terutamanya golongan B40.

YB Menteri Sumber Manusia turut merakamkan penghargaan kepada anggota-anggota MPGN sebelum ini telah memberi sumbangan dalam memastikan kejayaan MPGN melaksanakan fungsi-fungsinya termasuk membuat kajian dan syor kepada Kerajaan sebelum pewartaan Perintah Gaji Minimum 2016. Sehubungan dengan itu, pelantikan anggota MPGN yang baharu ini adalah sangat penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar gaji minimum ini.

###

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Manusia
12 Oktober 2017
 

PrintEmail