Mengenai Dasar Gaji Minimum Malaysia

Latar Belakang Dasar Gaji Minimum di Malaysia

Inisiatif Gaji Minimum Kebangsaan telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Bajet pada 15 Oktober 2010. Ia adalah salah satu instrumen dasar melalui Model Baru Ekonomi (MBE) bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang terangkum dan mampan menjelang tahun 2020. Dasar ini bertujuan untuk memastikan pekerja dapat memenuhi keperluan asas dan menyediakan suasana sesuai untuk industri dalam meningkatkan nilai rantaian pengeluaran mereka. 

Gaji minimum mengikut Akta 732 adalah gaji pokok, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

  • Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 menunjukkan bahawa 33.8% daripada pekerja sektor swasta memperoleh pendapatan kurang daripada RM700 sebulan, relatif kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM800. Salah satu matlamat utama Dasar Gaji Minimum ialah untuk memastikan bahawa semua pekerja di Malaysia memperoleh pendapatan melebihi PGK, selaras dengan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.
  • Pelaksanaan Dasar Gaji Minimum adalah sebagai mendokong cita-cita negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan menetapkan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia. Memandangkan bilangan pekerja di negara ini yang memperoleh pendapatan yang kurang daripada gaji minimum adalah agak tinggi, maka inisiatif baharu tersebut dijangka dapat meningkatkan pendapatan negara kasar.
  • Dasar Gaji Minimum ini juga akan menggalakkan majikan untuk meningkatkan rantaian pengeluaran dengan meningkatkan produktiviti pekerja mereka melalui penggunaan teknologi dan inovasi lain.
  • Penetapan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia akan memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan, yang akan menggalakkan lagi lebih banyak penjanaan aktiviti ekonomi.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim.
Satu kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia mendapati bahawa kadar gaji minimum yang kurang daripada RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap firma, guna tenaga, pelaburan langsung asing atau kemasukan migran ke dalam negara. Lebihan wang akan meningkatkan perbelanjaan individu.
 
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), dasar gaji minimum “adalah dijangka memberikan kesan positif ke atas ekonomi Malaysia”. BNM menjangkakan bahawa kesannya terhadap kos perniagaan adalah kecil kerana impak kenaikan gaji akan dapat dikurangkan menerusi peningkatan produktiviti.
 
“Memandangkan isi rumah yang berpendapatan rendah berkecenderungan untuk mempunyai marginal propensity to consume (MPC) yang lebih tinggi, peningkatan pendapatan pekerja yang terlibat dijangka meningkatkan perbelanjaan pengguna dan penjanaan aktiviti ekonomi.”
 
 
Walau bagaimanapun, Kerajaan mengetahui bahawa majikan di Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam membuat penyesuaian selaras dengan dasar gaji baharu. Meskipun begitu, dasar ini merupakan satu langkah supaya Malaysia menjadi antara 150 buah negara lain yang telah melaksanakan dasar gaji minimum.
Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] pada 28 September 2011. Fungsi Majlis tersebut ialah untuk menjalankan kajian tentang semua perkara yang berkenaan dengan gaji minimum dan untuk membuat syor gaji minimum kepada Kerajaan. MPGN adalah terdiri daripada:
  1. Pengerusi
  2. Timbalan Pengerusi
  3. Setiausaha
  4. Anggota pekerja
  5. Anggota majikan
  6. Pegawai awam
  7. Anggota lain
MPGN dianggotai oleh sekurang-kurangnya 23 orang anggota dan maksimum seramai 29 orang anggota, dan tiada seorang anggota pun, kecuali Setiausaha dan Pegawai Awam, yang dibenarkan memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi tempoh tiga tahun pada satu-satu masa. Mereka boleh dilantik semula ke dalam Majlis. Bilangan wakil majikan dan pekerja mestilah sama pada setiap masa.
 
                   
Rajah 1: Komposisi MPGN                        Rajah 2: Proses Penetapan Kadar Gaji Minimum

PrintEmail